Tuesday, August 10, 2010
Bersama Kita Menuju TAQWA
Seringkali diperingatkan dan memperingati akan masuknya 1 Rejab setiap tahun membaca doa agar melalui rejab, sya'ban dan mahu di sampaikan kepada ramadhan.Namun ketentuan Allah hanya DIA yang mengetahui.Siapa antara hamba-hambanya yang akan melalui bulan mulia itu lagi.Seringkali setiap menjelang ramadhan ayat yang sering kita diperdengarkan tidak lain an tidak bukan "Wahai orang-orang yang beriman, di wajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana yang telah di wajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." Sangat besar pengertian namun adakah puasa kita sampai ke tahap akhir firman Allah SWT itu?
Bertaqwa? sejauh mana kita memahami erti dan tafsiran pada perkataan tersebut.Bukan mudah kerana terlalu banyak pengertian untuk perkataan taqwa namun yang mengetahui hanyalah Allah SWT.Merujuk kepada seluruh rukun Islam dan Iman, mungkin kita nampak mengamalkan sepenuhnya, memepercayai sepenuhnya namun luaran nilaian manusia adalah pakaian yang mampu di lihat oleh mata kasar namun luaran tidak semestinya menggambarkan isi di dalam yang terpendam.Umpama buah-buahan elok di luar tapi berulat kemungkinannya pada isi di dalamnya.
Lihatlah bertapa sukarnya kita mentafsir isi buah maka lebih sukar lagi pada istilah yang tinggi martabatnya di sisi Allah SWT.Dunia akhir zaman sering memperlihatkan insan-insan yang jauh menyimpang dari landasan agama.Dan insan-insan yang mempunyai kesedaran agama sering kali mengeluh melihat saudara-saudari kita yang tersesat di beli kemewahan dunia yang sementara tapi kesedihan tidak bakal mengubati namun usaha kita perlu lebih berlipat kali ganda dan istiqamah kerana hasilnya bukan di tangan kita.
Disamping usaha perkara penting yang perlu di utamakan adalah sejauh mana kita menjaga diri kita.Menyayangi diri kita kerana adakalanya kita rasa kita sudah cukup dengan apa yang kita lakuakn.Kita merasakan kita adalah insan terpilih untuk berada pada barisan manusia yang memperjuangkan agama Allah dan meneruskan perjuangan Nabi tercinta namun sedarkah kita merasa sedemikian adalah satu ujian yang amat besar kerana kemungkinan pada rasa itu terselit perasaan riak yang amata kita takuti.Mungkin juga tersisip kemunafikan yang tanpa kita sedari.Na'uzubillah min zalik.
Kita sering melihat pada kesilapan orang lain namun kesilapan kita jarang kira perdulikan.Kita menyangkal pada dosa besar kerana kita memang tidak terlibat namun berwaspadalah dosa-dosa kecil mungkin seringkali kita eratkan pada diri kita.Kerana sesungguhnya adakalanya kita terlepas pandang bahawa ada hak orang lain yang mungkin tidak kita tunaikan.Maka berwaspadalah kita dalam menilai setiap perbuatan diri sendiri.Sampaikan apa yang patut kita sampaikan, berterima kasih pada setiap tutur kata orang lain pada diri kita kerana walaupun adakalanya pahit namun itulah yang adakalanya mendidik sifat kita untuk lebih dekat kepada Allah dan mengejar rasa dan sifat taqwa.
Akhir qalam, sentiasalah mengkoreksi diri pada setiap kesilapan kita dan kesilapan orang lain kerana mungkin kita lebih teruk malah mungkin kita sama dengan orang lain.Berusahalah menjadikan diri kita sentiasa berguna pada orang lain dan beruasahalan menunaikan hak orang lain yang ada di tangan kita dengan ikhlas agar suatu masa nanti kita temui yang ISLAM itu MUSLIM dan yang MUSLIM itu juga ISLAM dan menujulah kita ke satu taraf yang sukar iaitu T-A-Q-W-A.
Wallahu 'allam.....Salam Ramadhan Al-Mubarak 1431H
Thursday, January 21, 2010
Segala Pujian Hanyalah Milik Allah
Dua minggu lepas saya di kunjungi oleh insan yang tidak di kenali melalui Yahoo Massanger.Alhamdulillah bertambah satu lagi ikatan ukhuwah melalui maya.Moga ianya membawa kepada kebaikan.Namun saya di kejutkan dengan kemarahan beliau yang menghentam saya.Saya cuba mengamati dari mana asas yang menyebabkan kemarahan yang tersangat itu telah tercetus.Memang amat menyedihkan insan seagama itu menghamburkan kata-kata yang sangat pedih. Namun mengambil iktibar dari sirah perjuangan Rasulullah menyebarluaskan Islam maka saya mengambil inisiatif untuk membaca tanpa menjawab.Mungkin itu lebih baik.Membiarkan dia melempiaskan kemarahannya terlebih dahulu. Saya berpegang pada kata jika seseorang marah maka jangan di lawan atau di celah kemarahannya biarlah dia menghabiskan dulu marahnya bila dia dah sejuk maka mungkin ianya akan meyedarkan dirinya sendiri bahawa kemarahannya hanya sia-sia.Namun jika kita lawan maka bertambah maraklah api kemarahan di tambah pula dengan usikan-usikan syaitan yang tak kelihatan.
Panjang tulisannya tanpa henti hanya sekali saya membalas pada awal dia menaip perkataan salam.Saya membaca dan terus membaca.Akhirnya saya tahu dari mana punca kemarahan yang meluap-luap itu bermula.Semuanya bermula pada tinta tinggalan saya di flatform NUR KASIH. Drama yang mencetus fenomena.Drama yang sangat mencipta rating tertinggi untuk TV3 dan drama yang kononnya mengembalikan penonton Melayu melihat drama anak melayu. Saya lampirkan sedikit tulisan sang hamba itu di bawah ini.Yang lainnya biarlah hanya Allah, saya dan dia sahaja yang mengetahui.
"Saya tak tahu kenapa kamu mengkritik begitu sekali pada usaha baik pengkarya seni dalam menghasilkan drama berbentuk keagamaan.Kamu ni ustazah ke? atau kamu ni pengkritik drama? Pernah menghasilakn drama? Kamu pernah menang anugerah penulis drama terbaik? Atau mungkin kamu pengarah filem terbaik di anugerah filem? Saya tahu kamu hanya penonton. Bagi saya kamu tak ada kelayakan untuk mengkritik penghasilan drama sebaik Nur Kasih.Sepatutnya kita menghargai usaha-usaha insan yang terlibat dalam drama ini bukan menjadi pengkritik belakang tabir.Kalau berani tonjolkan diri kamu di secara nyata. Hasilkan drama yang boleh mencetuskan fenomena yang lebih kuat dari Nur Kasih. Kalau kamu berhasil barulah kamu boleh mengkritik sesuka hati. Kamu ingat kamu ni baik sangat. Allah tidak beri kuasa manusia untuk menjadi penilai tapi Allah saja yang berkuasa menilai hambaNYA. Apa kesalahan Nur Kasih pada kamu? Rasanya tidak ada. Kalau kamu tak suka jangan tengok senang cerita ni kamu pandai-pandai nak kritik hasil kerja orang lain. Ada kamu pernah lihat drama sebaik ini sebelum ini? Muhasabahlah diri kamu sebelum kamu rasa kamu layak menjadi penilai untuk orang lain. Kenapa kamu diam? Takut? Atau dah sedar diri?"
Itulah sebahagian yang saya terima sebagai habuan hasil meninggalkan jejak pada flatform drama kesukaan ramai.Saya mengucapkan tahniah pada insan bernama Safiqah(tak tahulah nama sebenar atau bukan) kerana keberanian dan mungkin satu luahan rasa buat insan yang seberani saya mengkritik drama milik orang ramai itu.Tapi bagi saya saya tidak mengkritik drama tersebut.Saya cuma berhasrat membuka mata sahabat-sahabat perminat drama ini agar tidak terlelu terbuai oleh mata hati yang di kaburi.Tapi sekiranya saya tersalah saya memohin maaf pada semua. Saya membalas dengan ucapan terima kasih padanya.
"Cik Syafiqah yang saya kasihi, mungkin memang silap saya kerana berani mengeluarkan pendapat tentang drama kesukaan ramai.Alhamdulillah saya juga menyaksikan drama ini.Namun bezanya kita,mungkin saya bukan peminat nombor satu drama ini seperti cik Safiqah dan yang lain.Saya tidak berniat menghentam drama ini kerana itu bukan kelayakan saya.Saya bukan penggiat drama dan saya selalu berdoa agar tidak akan terlibat dalam dunia perfileman.Buakn saya benci dunia itu tapi saya tidak kuat untuk masuk melayari dunia milik orang ramia itu. Saya juga tidak mengharapkan anugerah dari pentas ini tapi cukuplah anugerah Allah yang menghadiahkan saya kesempurnaan sebagai manusia agar ini saya gunakan untuk mengabdikan diri padaNYA.Maaf yang tidak terhingga jika apa yang saya tinggalkan di flatform Nur Kasih benar-benar mengundang rasa kurang enak pada cik Syafiqah dan sahabat-sahabat yang lain.Untuk pengetahuan cik Syafiqah, cubalah baca sekali lagi apa yang saya tulis agar cik Syafiqah lebih faham maksud yang cuba saya terapkan. Percayalah cik Syafiqah, apa yang saya tulis bukan mahu membuka aib sesiapa atau menunjuk diri pandai tapi saya tulis atas dorongan hati kerana Allah dan hasil dari pengamatan saya pada beribu-ribu penonton yang meminati drama ini juga hasil bacaan saya pada komen-komen peminat yang lain. Saya takut pada kemurkaan Allah. Nur Kasih tidak salah namun saya takut kerana kesalah fahaman kita pada mesej drama ini kita semakin hanyut jauh dari fitrah kehidupan kita. Saya juga ucapkah tahniah kepada cik Syafiqah kerana sudi memberi pandangan pada komen saya. Semoga keberanian cik Syafiqah ini akan digunakan untuk Islam suatu hari nanti. Saya doakan dari kejauhan. Salam kasih sayang kerana Allah.Terima kasih sudi menjadi tetamu saya.Moga ukhuwah ini berterusan hendakNYA.Amin."
Saya tidak menerima balasan darinya.Saya menunggu hampir sepuluh minit lamanya.Dia cuba menaip sesuatu tapi sentiasa di padam. Dan akhirnya dia pergi begitu saja. Tidak tahu sama ada pergi dengan marah yang masih membara atau pergi dengan kemaafan buat saya. Saya berdoa moga Allah temukan lagi saya dengannya. Kerana bagi saya insan seberani beliau perlu di gunakan untuk Islam.
Pagi ini seperti biasa saya akan mulakan dengan membuka email. Sentiasa memerhatikan andai ada kiriman email-email dari rakan sekerja yang berada di daerah lain yang mahu saya membuat tindakan lanjut.Alhamdulillah tiada.Tapi yang membuatkan saya terkejut saya menerima email dari Cik Syafiqah yang hilang selama dua minggu itu.Saya terharu dan melafazkan syukur yang amat tinggi buat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang pasti segalanya datang dariNYA jua. Dia menulis sepeti ini;
"Assalamualaikum...buat seorang insan yang saya hormati, terlebih dahulu sama-samalah kita panjatkan syukur kepadaNYA atas limpahan usia yang masih di beri.Moga hari baru ini di lalui dengan iman yang bertambah dan taqwa yang semakin baik.Apa khabar saudariku? moga sihat hendakNYA. Pertama sekali lafaz kemaafan yang tinggi pada diri saudari atas apa yang telah saya lakukan dua minggu yang lalu.Alhamdulillah, membaca berulang-ulang kali apa yang saudari tulis di flatforn Nur Kasih akhirnya saya faham niat baik saudari pada semua yang meminati drama ini.Ya benar sekali.Secara terus terang mungkin apa yang saudari nyatakan saya lalui. Lama saya bertafakur dan akhirnya air mata saya menitis menginsafi kesalahan diri yang hanyut di buai arus dunia fana.Benar kata sudari Nur Kasih memang tak bersalah begitu juga setiap yang terlibat dalamnya. Siapa yang bersalah adalah insan-insan seperti saya yang lebih memuja mengikut nafsu semata.Seperti kata saudari Nur Kasih memang drama yang baik tapi saya sebagai peminat buta menilai apa yang sepatutnya saya dapat dari drama itu.Saya berterima kasih pada saudari yang mencelikkan mata hati saya dari terus di kaburi oleh olahan cinta yang membuai persaan.Sungguh saya amat menyesali semua apa yang pernah saya lalui atas kebutaan mata hati saya.Saudari amat beruntung kerana memilki mata hati yang tajam untuk menilai hati-hati insan seperti saya. Doakan saya saudari agar terus berusaha mencelikkan mata hati yang sentiasa kabur dan gagal menilai permata pada celahan kaca yang berkilau.Salam ukhuwafillah abadan abada."
Saya menyudahi bacaan itu dengan lafaz syukur ke hadrat ilahi.tiada pemilik syukur melainkan hanyalah Allah SWT. Dialah pemilik segala pujian.Saya menitiskan air mata dengan rahmat Allah yang begitu mengasihi hambanya. Membuka apa yang tertutup selama ini.Saya berdoa moga selepas ini bukan hanya Syafiqah yang merasai nikmat besar rahmat Allah tapi juga buat diri saya dan yang lain.Saya simpulkan semua ini dengan kata "mata hati itu tidak pernah berdusta".Terima kasih ya Allah.
*P/S==>gt;Nur Kasih tidak ada salahnya tapi adakalanya mata hati kita gagal mencari mesej yang mahu di sampaikan hingga terpuja-puja yang tidak layak.Berhati-hati dalam menilai apa yang berada di pandangan mata.
Thursday, January 14, 2010
Jangan Banyak Beralasan...
Hari ini bumi Labuan di simbahi rahmat Allah lagi.Alhamdulillah rahmat Allah turun mencurah-curah sejak pagi semalam.Apa yang dibawa olehnya kita tidak tahu tafsirannya apa yang penting angkatlah tangan dan berdoalah moga ianya turun bersama rahmat dan kasih sayang Allah bukan bersama kesan tangan-tangan manusia yang membinasakan.
Sudah hampir seminggu masyuarat pelantikan Jawatankuasa Nisa' Kawasan Labuan berakhir.Namun hati masih di gendang kuat ekoran lantikan sebagai penanung.Hati terasa berat mahu menerima ekoran pengalaman yang tiada malah ilmu yang benar-benar sedikit namun amanah Allah ini saya terima sebagai medan ujian moga dengan adanya sahabat-sahabat yang hebat disisi akan terus menyokong dan menjadi tulang belakang langkah juang ini.Bayang-bayang perjuangan telah dapat dilihat di bumi kecil ini kerana saya lahir dan dibesarkan disini.Bumi yang tersergam indah ini walaupun kecil namun semangat juangnya pada jalan Allah masih kabur asbab kurangnya manusia yang mahu menonjolkan diri.Namun kehadiran warga kampus yang di bina nun jauh di hujung pulau Labuan ini memberi satu harapan dan impian moga situasi akan berubah dari masa ke masa hinggalah bumi yang sinonim dengan gelaran bebas cukai ini akan bertukar menjadi medan memantapkan iman InsyaAllah.
Generasi akan bertukar tangan namun andai tiada generasi yang mahu memulakan maka kekaburan akan terus gelap gelita tanpa cahaya menerangi.Teringat kembali keluhan sang sahabat di YM suatu hari yang diizinkan Allah dulu
"Sal, apalah nk jadi dengan labuan ni? Makin hari makin teruk."
"Awak rasa macam mana?"Saya tidak menjawab tapi bertanya kembali.Ingin melihat dari sudut mana topik yang dibukanya setelah salam bersambut.
"Ialah cuba tengok pemandangan yang ada cuma yang memritkan mata melihat.Jangankan remaja lepak sekarang ni, dengan GROnya, rumah-rumah judi, arak tak payah sentuhlah memang-memang sah ada malah banyak." Panjang taipannya.
"Apa rasanya yang kita kena buat?" Saya meyuarakan provokasi tanpa menjawab.
"Kita kena ubah sal, kesian generasi akan datang."
"Kita? kita siapa?" Saya masih memprovok beliau.
"Kitalah sal.Insan-insan yang masih melihat bumi ini pinjaman Allah."
"Alhamdulillah.Ayuhlah.Saya dengan rela hati sanggup berganding tangan kalau ada yang sudi mendampingi."
"Tapi sal..."
Sampai bila tapi pada setiap manusia itu berguna tanyalah pada diri kita.Saya masih teringat sambungan cerita tersebut yang saya rasakan tidak perlulah saya catatkan di sini.Tapi yang di gunakan oleh setiap insan itulah yang sering mengendurkan matlmat dan semangat juang yang bersayap tapi tak mahu terbang.Saya kecewa sendiri dalam diri.Adakah saya hanya perlu meyendiri.memberontak sendiri menyemarakkan azam namun tiada langkah susulan? Betahun saya bertanya dalam diri samapi bila harus saya ulangi semua sejarah-sejarah sedemikian? Namun Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.DIA akhirnya membentangkan jalan buatku merealisasikan impian yang telah lama berakar umbi dalam hati.Moga titik mula ini akan merubah 'tapi' yang sentiasa ada itu kepada 'ayuh'.
Ala kulli hal, moga organisasi NISA' yang baru terbentuk membentangkan jalan untuk sentiasa menukar 'tapi' yang sebagai jalan pemintas kepada 'tapi' kepada calan pencerahan.Buat sahabat-sahabat segandingan dalam NISA' ayuh kita jadi generasi yang ada tapi pada pencerahan bukan tapi kepada alasan.Pimpinlah tanganku, menhayunlangkah membuka tabir baru buat seluruh warga bumi Allah yang tercinta ini.Moga Allah sentiasa menyarungkan kita dengan pakaian taqwa dan iman dalam memenuhi tuntutan kehidupan yang menuju destinasi pasti yang di sembunyikan bila masa dan ketikanya.
Takhziah buat sekalian sahabat-sahabat yang terlantik menjadi pemegang amanah moga kalian sabar dalam redha dengan amanah ini moga kesabaran itulah yang menjadi kekuatan buat kita semua.Salam maju jaya buat diri kita bersama-PENGERUSI NISA' KAW.LABUAN.
*Ya Allah binalah peribadi taqwa dalam diriku.sungguh aku adalah hambamu yang lemah sering menghubungkan diri dengan orang lain malah sering cuba belajar tentang manusia tapi namun sering gagal memahami diri sendiri? Apa yang aku tahu aku adalah hambaMU yang kaya dengan doa namun miskin dengan usaha.Berilah aku petunjukmu ya Allah.
Friday, December 11, 2009
Tutuplah Lubang-Lubang Fitnah
Beberapa hari lagi tahun akan berganti meningkat seangka lagi.Tinggalah segala yang telah di lalui di kenang sebagai kenangan yang mungkin akan pudar dan pergi.Masa lalu itulah perkara yang paling jauh daripada kita.Moga kehadiran tahun baru ini mengajak kita bersama meningkatkan hijrah diri ke arah yang lebih baik di dunia dan insyaAllah pada akhirat.Bukan mahu mengupas permasalahan ataupun mengungkap topik perbincangan namun cukuplah sebagai satu lakaran buat tatapan pengunjung blog yang tidak berharga ini jika ada.
Saat terdetik minit pantas berubah jam pun berpusing masa bertukar baru.Hari melangkah pergi menukar bulan dan tahun.InsyaAllah kita akan ditemukan dengan 1431 hijrah.Pasaklah azam.Perkara biasa yang sering kedengaran setiap tahun yang berlalu.Perkara yang sering menjadi topik perbualan. Tidak kiralah pertukaran tahun Hijri ataupun tahun masihi.Hanya satu ayat iaitu azam.Itulah yang sering di bualkan.Namun sejauh mana kita merealisasikannya maka tanyalah hati dan iman.Kerana hanya kita yang tahu di mana kita berada dari masa ke semasa.
Perkara yang paling banyak terlentak di akhir zaman ini tidak lain dan tidak bukan adalah fitnah.Dilahirkan sebagai kaum hawa adalah satu keistimewaan yang di dokong oleh tugas yang sangat istimewa terpikul di bahu.Bakal menjadi isteri yang sering di gandingkan dengan ungkapan tulang belakang perjuanga suami.Kemudian menjadi ibu yang di anugerahkan martabat tinggi oleh Allah SWT apabila syurga si anak terletak di bawa telapak kaki ibu.namun di sebalik kesemua keistimewaan itu pastinya Allah adillkan dengan sebertentangan dengannya.
Wanita dan fitnah amatlah hampir yang menjarakkan adalah iman.Lubang-lubang fitnah amat terhampar luas pada wanita maka itulah Allah memperingatkan kaum wanita dengan seasas-asas suruhan ya'ni menutup aurat.Dinyatakanjelas dalam surah An-Nur ayat 31;-
وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِى ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.(SURAH AN-NUR : 31)
Kemudian Rasulullah SAW pula memperingati kita lagi dangan memelihara sifat malu agar kita sentisa terpelihara dari fitnah akhir zaman yang terbentang luas medannya.Sabda baginda yang mashur untuk kaum hawa:"pakaian kita taqwa, hiasan kita malu, hasil kita adalah ilmu"
Maka dengan itu jadilah kita manusia yang berpegang pada satu hakikat dimana kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT.Bersamalah kita mencegah daripada merawat.Peganglah hadith Rasulullah sebaiknya.Agar kita menjadi insan yang tergambar dari kata-kata masyur ibnu Majah di bawah:
"semakin bertambah usia semakin hampir kita pada kematian.Rugilah manusia yang apabila terbenam matahari tapi amalannya tidak bertambah"
Berasama kita renungkan.Akhir qalam, hiasi diri perbaiki peribadi banyakkan taqwa moga kita menjadi muslimah dunia dan menjadi bidadari syurga pilihan Allah SWT.
Tuesday, September 8, 2009
Ragam Manusia, Tarbiah Buat Kebaikan Diri
Pandangan saya terhadap manusia yang beragama tapi tidak beramal dengan agamanya mula berubah apabila saya cuma memandang ragam manusia seperti ini dengan mata hati dan bertunjang keimanan.Mereka sebenarnya tidak bodoh tapi mereka membodohkan diri hanya kerana mahu merasai nikmat dunia dengan segala alternatif yang ada tanpa mengetahui akan impaknya.
Saat saya menulis entry ini, saya bertarung dengan linangan air mata memikirkan segala dosa-dosa saya selama ini.Benarlah nikmat hidayah Allah itu apabila menyusup dalam sanubari manusia keturunan Adam, sukar untuk di ungkap dengan kata-kata.Saya memikirkan tentang diri saya sambil saya memikirkan saudara-saudara,rakan-rakan dan umunya ummat islam yang masih jauh dari landasan agama.Hati saya robek membayangkan azab yang Allah janjikan buat insan-insan yang ingkar akan perintahnya.Jika saya merasakan hati saya robek, saya turut terbayangkan hati insan-insan yang bergelar ustaz dan ustazah yang pastinya sudah lama terkoyak robek dengan semua ini.
Benarlah apa yang kita lihat hanya ibarat debu yang berterbangan apabila kita melihatnya sahaja.Tapi apa yang kita lihat akan kita lihat hikmahnya apabila kita melihat dengan berlandaskan apa yang telah Allah gariskan.Itulah yang saya praktikkan dalam diri saya kini.Apabila melihat kebaikan di hadapan mata saya meletakkan diri saya pada si pembuat kebaikan itu dan begitulah sebaliknya dan saya merasakan ada sesuatu yang saya perolehi daripada dua situasi yang berbeza itu.
Jika penyakit yang melanda orang dewasa ialah penyakit lupa diri.berpesata umpakan dia kembali ke zaman remaja yang penuh kemanisan tanpa segan silu memeperlihatkan apa yang mereka miliki.Namun penyakit remaja kini lain pula kerana penyakit mereka adalah yang bernama Cinta.Saya tidak tahu mendefinisikan bagaimana kerana saya bukan pakar cinta.saya juga bukan ustazah tapi saya cuma melihatnya melaui kosep diri saya sendiri.Saya tidak pernah merasa erti cinta antara insan.Walaupun ada juga beberapa lelaki yang pernah mengetuk pintu hati suatu ketika dahulu tapi apa yang saya perolehi hanyalah rasa gunha dan resah.Berteraskan pesan nabi bahawa 'hati itu cenderung ke arah kebaikan dan resah kepada maksiat saya memohon diri dari insan tersebut agar tidak terus hanyut di bawa arus pujukan nafsu dan syaitan.Kini Alhamdulillah saya lebih merasa tenang dan saya harap insan itu juga merasakan sama walaupun agak sukar baginya menerima keputusan saya.Tapi saya tahu dia memahaminya dan memerlukan masa untuk menerima dan menyedari akan hikmah keputusan saya.
Saya berdoa moga teman-teman yang mengelilingi saya dalam melayari hidup dan kesempatan yang masih ada ini, akan turut sama merasai apa yang saya rasakan.Tahanlah diri kita untuk lebih merasai akan nikmatnya cinta yang lebih berhak.
Saya baru saja menamatkan bacaan buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, pemilik blog saifulislam.com yang bertajuk 'Aku Terima Nikahnya'.Walaupun semua yang tercatat dalam buku tersebut telah saya khatamkan beberapa kali di blog beliau, tapi membaca bukunya lebih membuatkan saya menerima apa yang diberi beliau melalui buku tersebut kerana artikelnya tersusun dengan mengikut apa yang mahu di sampaikan.Perasaan saya lebih tenteram kini atas sokongan artikel-artikel beliau yang menyampaikan apa yang sebenarnya bermain di benar remaja seperti saya.Terus terang saya semakin merasa kuat untuk memegang azam yang telah saya pasakkan dalam jiwa.Saya tidak menolok cinta tapi biarlah cinta yang kita genggam esok bukan cinta yang memporak perandakan perasaan tapi cinta yang lebih menenteramkan hati kita dan berteraskan cinta kepad DIA yang MAHA ESA.Dan insyaAllah buku kedua beliau, "Bercinta Sampai Ke Syurga" akan saya mulakan bacaan jika ada ruang waktu mengizinkan.Tidak ada apa yang ingin saya perolehi melainkan sedikit ilmu Allah yang di kongsikan insan yang bernama hamba agar dapat saya kongiskan kepada hamba-hambaNYA yang lain kerana saya tahu tidak semua sahabat-sahabat saya malah mungkin mereka semua bukan pembaca saifulislam.com.Oleh itu apa saja yang saya perolehi dari setiap coretan ustaz Hasrizal akan saya kongsikan pada teman-teman yang lain dalam versi pemahaman saya.Semoga ustaz mengizinkan saya yang dhoif ini.
Akhir coretan kedua di mulan mulia ini saya sentiasa mengharapkan moga apa yang saya rasakan ini bukan hanya melekat sementara pada hati.Dan saya sentiasa berdoa moga hidayah Allah akan terus utuh di hati ini dan semoga Allah memberi kekuatan untuk terus memeliharanya.Buat sekalian pembaca blog ini doakan agar kita semua sama-sama istiqomah dalam memlihara manisnya iman dan taqwa hanya pada Allah SWT.
Selamat melalui hari-hari akhir di bulan ramadhan.

