Monday, November 10, 2008

Kehilangan Yang Tidak Berganti

Bismillahirahmanirahim....Assalmualaikum wbt.Salam sayang ukhuwah persaudaraan dan semanis perjuangan.Alhamdulillah segala puji bagi Allah pemilik sekalian alam serta tidak lupa selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.Juga buat semua pejuang-pejuang Islam terdahulu dan kini.Moga setiap perjuangan kita senantiasa mendapat rahmat dariNYA.

Setelah hampir tiga bulan blog ini terlaksana hanya ucapan syukur yang terlafaz.Dengan ilmu yang sedikit dan baru setahun jagung bertapak menempatkan diri dalam persada perjuangan secara terang-terangan sesungguhnya benar terasa akan nikmat dan kasih sayang dariNYA.Kemana lagi rasa terima kasih yang hendak diluahkan sekiranya tidak padanya.Kerana segalanya datang daripadaNYA.

Bercerita tentang perjuangan, kehidupan dan kematian adalah sesuatu yang sukar untuk kita tafsir pengertiannya.Setiap manusia berbeza definisi untuk tiga perkara tersebut.Namun kematian adalah satu penamat mutlak bagi setiap hamba Allah.

Bercerita tentang kematian hati benar-benar terusik sayu.Bagaimanalah agaknya jika sampai kepada diri saat itu nanti.Tiada siapa yang tahu.Namun apa yang perlu dilakukan bersedia untuk kematian kerana tiada siapa tahu bila saat akhir nafasnya terhembus.Berdoalah semoga saat kematian kita, kita akan tersenyum pada insan-insan yang pernah tersenyum menyambut kelahiran kita di dunia.

Seminggu yang lepas juga menerima dua berita kematian.Tiada lafas yang terluah.Lidah menjadi kelu tak terkata hanya lafaz "inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" didalam hati.Hari ini saudara kita menerimanya mungkin esok lusa kita yang bakal kehilangan ataupun kita yang bakal pergi.Maka muhasabahlah diri.Berusaha sebaik mungkin agar kita pulang berbekal amal dan diterima menjadi penghuni syurgaNYA.

Sabtu yang lepas Allah memberi kelapangan masa menghadiri majlis tahlil di rumah sepupu yang baru kehilangan ayahnda tercinta.Gugur juga air mata apabila mendengar cerita kehilangan ayahnda tercinta dari mulutnya.Selalu benar perkara ini saya tumpangi dari sahabat-sahabat dan saudara, entah bagaimana pula rasanya jika sampai ke saat saya nanti.Ya Allah, kurniakan saya kekuatan.Andai saya yang akan pergi dahulu maka kurniakan kekuatan kepada ibubapa dan saudara-saudaraku agar redha pada ketentuanMu kerana Engkau maha tahu segalanya.

Siapa yang tidak merasa sakit kehilangan insan tersayang namun Allah itu telah termaktub memiliki sifat Al-Adil pada asma'nya.Maka redhalah kita atas anugerahnya.Sesunggunhnya telah berjanji DIA kepada kita setiap yang hidup pasti akan merasai mati.Maka bersabar dan redhalah wahai manusia semua itu adalah lumrah kehidupan.Setiap kurniaanya pasti yang sempurna dan terbaik buat kita.Tidak ada yang membezakan antara manusia melainkan taqwanya kepada Allah SWT...

Akhir coretan moga sama-samalah kita sentiasa memuhasabah diri dan terus tarbiah mentarbiah antara sesama Islam moga setiap apa yang kita lakukan mendapat ganjaran pahala dariNYA...

wassalamualaikum wbt...

No comments: