Wednesday, December 17, 2008

Tuntutan Disember

Disember....

Bulan yang sentiasa menuntut pengorbanan masa dan tenaga setiap tahun.Saat inilah mata selalu berair, tidur yang tidak pernah mencukupi dan tenaga terpaksa dikerah lebih.Otak juga dipulas sepuasnya bagi memenuhi tuntutan kerja yang memang menuntut lebih tanggungjawab.Menghadap skrin komputer dan menghadap kali terakhir dokumen-dokumen yang di telaah sepanjang tahun sebelum segalanya diserahkan di jabatan audit.

Saat-saat inilah rasanya kemuncak yang benar-benar mengajar erti pengorbanan yang tinggi atas nama tanggungjawab.Adakalanya terasa mahu saja menyerah kala apabila butang-butang calculator sudah puas di tekan-tekan namun perbezaan kadang-kala menjadi jawapan pada persoalan.Resah melihat meja yang berlonggok dengan fail dan kertas.Hujung minggu buat keluarga juga terpaksa terkorban sama.Tapi itu semua nilai kepada tanggungjawab.Kepuasan itu adalah hasil yang amat indah walaupun pada mulanya amat memeritkan.

*Meja komputer yang menemani



*longgokan kertas dan fail mewakili pemikiran yang turut sesak

Namun dalam keperitan itu Allah pasti menyediakan kesenangan.Sebagaimana firman Allah SWT:

"Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" [Al-Insyirah (Ayat:5-6)]

Dan atas kebenaran firmannya itu jugalah saya mempunyai masa mengkhatamkan Salju Sakinah Sekali lagi.Tabiat yang tidak pernah saya lakukan :).. Tahniah sekali lagi buat penulis buku ini.Sifat ulat buku yang memang ada dalam diri saya tidak pernah sekalipun membuatkan saya menghadap satu buku beberapa kali kecuali jika ada yang saya jadikan rujukan.Namun saya tewas juga pada Salju Sakinah.Inilah buku yang julung-julung kalinya saya baca berulang dari kulit depan ke kulit belakang.


* dimana istimweanya novel ini? Sukar untuk saya katakan

Namun dalam kepantasan masa yang beredar Alhamdulillah, Allah juga menyediakan masa untuk ilmu-ilmunya.Tafsir Al-Munir yang saya miliki ramadhan yang lalu tidak pernah saya lupakan.Itulah nikmat yang disediakan dalam menempuhi hari-hari akhir 2008 ini.Adakalanya saya merasakan masa yang saya miliki amat terhad namun Allah Maha mengetahui.Dalam keterbatasan itu pasti ada ruang untuk mengisi rohani agar tidak menjadi cawan yang kosong. Ayat apa lagi yang mampu di lafaz selain lafaz Syukur Alhamdulillah.




Ya Allah,
Pada keterbatasan masa yang sentiasa aku miliki
Kurniakan aku ruang untuk setiap ilmuMU
Masa untuk bersamaMU
Masa untuk dendangan ayat-ayatMU
Masa untuk bermunajat padaMU
Sebagai manusia pastinya banyak yang datang menuntut untuk dipenuhi
Namun kebijaksaanku menguruskan segalanya
Pasti atas anugerahMU
Dan apa yang ku lalui kini
Pastinya atas susunanMU yang lebih bijaksana
"Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya." [Al-Khafi:17]

No comments: