Wednesday, February 18, 2009

Pergolakan Perasaan

Mencari damai yang hilang.

Manusia semua inginkan kedamaian




Hampir enam tahun rasanya saya hidup dalam keadaan yang mengorak langkah dengan meniupkan azam yang kuat dalam diri setiap hari.Adakalanya tertanya-tanya apakah diri ini sendirian dalam meletakkan diri di tempat yang asal.Kembali menundukkan kepala pada dia yang Maha Esa.Namun semuanya itu persoalan yang hanya berlegar dan pergi sebagai satu perencah kehidupan.Menempatkan diri pada ruang yang sangat sempit dalam memenuhi kehendak orang-orang tersayang adakalanya kita lupa diri kita juga ingin di belai sama.Atas kegagalan itulah kita sering kali terdampar dalam mencari damai untuk merawat kekusutan diri.




Sudah setahun lebih saya menjadi pengunjung tetap Saifulislam.com.Saya masih ingat lagi saya mendapat laman web ini dari majalah anis yang menjadi pengisi masa-masa lapang saya mencari pengisian yang adakalanya benar-benar memberi kesan.Hari ini Hampir keseluruhan artikel-artikel dalam saifuilislam.com saya jelajahi dan ada yang berulang saya baca demi mencari dan mentafsir makna yang cuba di sampaikan oleh ustaz Hasrizal.Ya, saya mengakui jika ramai pengunjungnya mengatakan yang artikel ustaz adakalanya menjadi penguat kepada semangat yang adakalanya mengalami proses turun naik.Itulah juga yang saya alami dan pastinya juga orang-orang di luar sana.




Sebagai ummat akhir zaman sungguh bukan sedikit fitnah dan mehna yang di hadapi untuk menempatkan diri menjadi pejuang di samping mempertaruhkan kehidupan bagi meraih satu kejayaan yang di janjikan Tuhan.Menolak dan berdiam diri juga bukan jalan terbaik jika mengaku diri sebagai pejuang.Walaupun adakalanya semangat rasanya tercabar dan mencair memujuk diri untuk jangan terlalu memberi muka namun bisikan kekuatan tidak mampu di jamah oleh kelemahan yang datang untuk mentertawakan kita akhirnya bila kecundang.




Pergolakan hidup selama 6 tahun ini bukan sedikit yang datang untuk mematangkan diri mengenal inilah kehidupan masa kini yang bercabang dan beronak.Namun hanya kebijaksanaan saja yang mampu membuat kita tersenyum sementara sebelum menikmati senyuman yang tidak kunjung malap akhirnya.Cabaran kehidupan yang merangkaikan dunia pekerjaan, alam dewasa, keluarga dan teman-teman.Semua itu memerlukan kita berada di tempat yang selesa.Namun adakalanya kita terhumban dalam dilema apabila sesuatu yang tidak kita ingini berlaku tanpa kita menyediakan payung sebelum hujan.Namun ketentuannya itu datang kerana mahu mengajar kita dan memaklumkan pada diri kita yang bergelar 'hamba' bahawa ini semua adalah kurniaan dari DIA untuk kita syukuri bahawa Allah masih memandang kita untuk terus memimpin kita dengan hidayahNya.Rafaklah ucapan syukur Alhamdulillah.Kerana mungkin di luar sana ada banyak lagi saudara kita yang mengalir darah Islam dalam jiwanya hanya memenuhi proses kehidupan sebagai hamba namun gagal mahu memahami akan maksud tersurat di sebalik kesempurnaan ciptaanNya.




Pergolakan politik, tentangan terhadap PPSMI, pencabulan peribadi yang berhormat dan yang akan terjadi Mac nanti iaitu peralihan kuasa kepimpinan itu adalah apa yang terdampar di mata kita.Ramai yang melihatnya dan mendefinisikannya sebagai 'inilah perjalanan hidup di dunia.' Mungkin ada kebenarannya.Namun sebagai pemerhati yang hanya mampu melihat dan melafaskan komen tersendiri tanpa mendapat liputan kita sebenaranya tidak pernah lupa bahawa kita semua punya hak yang sama.Mendapat keadailan yang sama rata daripada dia yang megaku mejalankan tugas untuk kita sekalian.Adakah ianya berlaku dalam diri kita? Sama-samalah kita renungkan.




Pergolakan kehidupan juga adalah resam biasa yang kita akan terus lalui selagi kita masih di beri peluang menarik nafas oleh Empunya dunia ini.Manusia memerlukan perhatian.Itu lazim.Namun tuntutan tanggungjawab adakalanya melebihi dari kemampuan kita.Sehingga ramai yang datang memohon untuk kita penuhi impiannya.Namun kita harus akur kita bukan sempurna dalam memenuhi kehendak orang-orang sekeliling.Kita manusia yang sangat lemah apatah lagi sebagai hawa kita adakalanya di selubungi emosi yang tidak menentu.Terutamanya apabila cinta manusia datang mengetuk pintu hati kita.Naluri ingin di sayangi dan menyayangi pasti ada.Namun kebersediaan kita menerima itu adakalanya menjadi asbab kita lebih cenderung menolak agar kita tidak di tuduh penghianat tanggungjawab di kemudian hari.




Maafkan diriku wahai hamba Allah yang menagih kasih.Tidak bermaksud mengecewakan niat murnimu.Namun aku takut menghianati kasihmu suatu hari nanti.Berilah aku masa kerana aku yakin akan petunjuk Tuhan yang Agung semua ini di tangguhkannya untuk memberikan yang lebih baik pada kita berdua.Izinkan aku memenuhi segala yang lebih dahulu minta di selesaikan.Persoalan yang kau timbulkan turut penting untuk melengkapkan aku menjadi umat Rasulullah SAW.Tapi aku yakin kini bukan masanya lagi.Mungkin di suatu hari nanti apabila hijab ini tersingkap oleh yang maha Kuasa.Andai memang enkau yang berhak saat itu segalanya akan bermula dan berakhir atas perkenanNYA.




Damailah hati dalam menunaikan perintah TuhanMU.Matahari yang terbenam petang hari ini akan terbit semua di siang esok hari.

Thursday, February 5, 2009

Demokrasi Yang Dicabuli

Kerajaan Perak dicabuli!

Kecacamerbaan politik di Negeri Perak menghantar satu rasa yang tidak enak pada hati.Nampaknya arena politik negara kini mula berkocak lagi.Kesombongan manusia kini kian tidak terkawal.Cabar-mencabar bukan lagi satu permainan tapi menjadi pegangan yang kukuh antara semua yang mahu menjadi pemimpin.Nampaknya arena politik juga sudah mahu menyamakan taraf ke arah pencarian bakat-bakat baru pejuang industri seni negara.Murah sungguh harganya jika sedemikian.Agenda melompat parti benar-benar popular malah permainan masuk dan keluar parti kini seperti permainan dadu yang boleh menghantar ke atas dengan simbol tangga malah jatuh ke bawah dengan simbol seekor ular.Hari ini ke BN, esok ke PKR malah lusa boleh menjadi bebas.Siapa peduli.Yang kesiannya rakyat.Baru mahu menyesuaikan keadaan dengan yang berhormat yang mendapat kepercayaan dalam PRU Mac 2008 lalu kini terpaksa pulak menemui jalan baru.



Secara peribadi saya mengatakan bahawa permainan ini amat membela periuk nasi sendiri berbanding dengan rakyat.Kasihan sungguh rakyat Malaysia.Kita bukan main mengadakan begitu banyak program untuk membantu rakyat negara orang yang mengalami bencana banjir, tanah runtuh, peperangan, kemiskinan dan kemudaratan tapi ianya ibarat 'melepaskan batuk di tangga' kerana perbuatan kita benar nampak sia-sianya jika kita tidak mengambil iktibar dari apa yang terjadi.Agaknya walaupun kota Kuala Lumpur yang megah dengan jolokan Kota Metropolitan itu di goncangkan Empunya dunia masih lagi ada yang tersenyum dan bersorak ini cuma cubaan dan bencana alam walhal yang sebenarnya itu semua adalah amaran Allah pada kita manusia yang hina.



Sabarlah sekalian saudara-saudara ku di Perak.Sekiranya selepas ini tampuk pemerintahan PKR beralaih ke pada BN maka bersedialah mengubah hala tuju pemerintahan.Jika PKR membawa anda menuju ke timur dahulunya maka mungkin selepas ini hala tuju perlu pulak melihat jarum kompas baru.Tapi ingat sesuatu yang tidak pernah berubah pada kehidupan dunia mahupun akhirat kelak adalah petimbangan iman dan aqal yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Al-Sunnah.Moga setiap apa yang di usahakan oleh kita semuanya untuk kebaikan dunia dan di akhirat.

Lopatlah wahai katak,

Kerana hanya itu cara pergerakanmu.Selamat berjuang moga saat engkau melompat engkau berjaga-jaga agar tidak terkena bahaya kerana adakalanya lompatanmu itu tidak kena hingga kau gugur menyembah bumi dan akhirnya kau akan tahu di mana engkau pasati di kembalikan kepada asal kejadianmu.

Wednesday, February 4, 2009

Tiba Giliran Shimon Peres

Tahniah buat Erdogan.Inilah contoh pemimpin Islam yang amat di dahagakan negara-negara Islam kini.Secara peribadi saya menyamakan perbuatan beliau meninggalkan 'World Economic Forum' sebagai satu hadiah buat sahabat baik J.W.Bush, Shimon Peres.Jika Bush menerima kasut sebagai hadiah lawatan anggaplah ini juga merupakan tamaparan yang hebat buat Peres.Moga kedua-dua pemimpin yang bergelar polis dunia yang banyak membaham nyawa-nyawa Islam akan terus menerima hadiah-hadiah istimewa seperti ini.

Bagi kita rakyat Malaysia, ambillah iktibar dari setiapa perkara yang di lakukan atas keberanian insan-insan Islam yang berani seperti Muntadar dan Erdogan.Bebanding dengan Palestin dan Iraq kita sebenarnya sangat bertuah menjadi rakyar Malaysia.Kita tidak ada peperangan, kita tidak kebuluran sehingga memohon ehsan orang lain.Malah jauh sekali kita jika mahu dibandingkan dengan mereka.Namun di sebalik kegusaran mereka akan tanah air tercinta berbanding nyawa yang boleh melayang bila-bila masa mereka punya azam yang kuat demi agama, bangsa dan negara.Tidak cukupkah itu sebagai satu contoh buat kita? Palestin melalui zaman peperangan yang sangat dasyat tapi kita masih juga begini duduk diam menanti ketibaan Akedemi Fantasia.Palestin berjuang hingga ketitisan akhir nyawa yang melayang tanpa menunggu masa akibat serangan bom zionis laknatullah.Tapi kita masih lagi berlaga sesama sendiri mempertahankan bahasa asing untuk di ajarkan kepada anak keturunan.Tangisan Palestin tidak pernah henti menangisi nasib anak-anak mereka tapi kita masih lagi tertawa melihat kelakuan tanpa batas anak-anak kita di pentas kemasyuran sebagai penyayi,pelakon dan Raja lawak.Palestin hari ini masih berjuang ke jalan Allah tapi kita masih lagi seperti dulu memperjuangkan keinginan dunia memenuhi nafsu agar martabat tinggi di mata dunia.Gigih sungguh perjuangan kita tapi sayangnya jalan kita belum juga lurus menuju redha Allah berbanding mereka yang usaha sangat dasyat ingin negara mereka merdeka dan Islam tertegak namun jelas hala tujunya.

Sampai bila agaknya negara terus maju tapi rakyatnya mundur? Jawablah olehmu sendiri wahai manusia Islam yang memegang kerakyatan Malaysia dan berbagsa Melayu.Sampai bila agaknya jalan kita baru akan jelas halatujunya? Jawablah olehmu yang berbangsa Melayu berkerakyatan Malaysia yang Islam pada kad pengenalannya.

Banggakah bertutur dalam bahasa asing yang dasyat benar pengaruhnya sehingga bangsa sendiri tidak di agungkan? Fikirkanlah bersama.Moga jawapan yang kau cari selama ini akan membuatmu tersenyum menjadi seorang muslimin kearah mukminin menjurus ke arah mukhlisin dan akhirnya menjadi muttaqin yang berkerakyatan Malaysia berbangsa melayu.

Syabas buat pejuang bangsa Melayu yang turun padang pada perhimpunan bantahan terhadap PPSMI!!



Akhirulqalam....jangan bunuh bahasa ibunda!!!

Thursday, January 29, 2009

Jadilah Melayu Yang Sebenar

Salam Safar.Bismillahirrahmani rahim.Alhamdulillah panjatan rasa syukur yang tidak terhingga pada DIA yang masih mengurniakan usia untuk sampai ke hari ini.


Semalam adalah malam yang saya rasakan amat sukar melelapkan mata.Saya tidak tahu mengapa, walhal hari ini adalah hari pertama saya akan memulakan pekerjaan setelah bercuti selama tiga hari bersempena perayaan Tahun Baru Cina.Apa yang bermain di minda saya adalah perkataan-perkataan yang keluar dari mulut anak kecil bernama Anas.Seorang anak Palestin yang di temuramah wartawan TV3 yang di siarkan pada Buletin Utama jam lapan malam tadi.Air mata saya tumpah menyaksikan rakaman yang singkat itu.Lebih menghayat hati apabila Anas menyebut ayat 173 dari surah Ali-Imran sebagai jawapan pada pertanyaan wartawan tersebut.Kerdilnya kanak-kanak itu bila kita perhatikan dari saiz tubuh badannya namun apa yang keluar dari bibirnya benar-benar menampakkan keyakinan akan adanya Allah disisinya sebagai penolong.Subahanallah!!

Jam terus berputar menjejak ke pukul sebelas malam.Selesai menyaksikan drama Mentua VS Menantu di saluran Prima(105) saya mengalihkan siaran ke TV3 semula.Rancangan Ally baru saja bermula.Topiknya amat menarik minat saya.







"Rojak Itu Malaysia"

Terkesima juga saya pada awalnya bila Ally menyebut tajuk itu.Namun saya dapat mengagak apa yang bakal di bualkan pastinya tentang bahasa Malaysia yang kini di campur adukkan penggunaannya.Salah siapa? Remaja masa kini? Kerajaan Malaysia? Pastinya masing-masing ada jawapan tersendiri.Tapi yang pasti saya 100% membantah PPSMI. Kerana pada saya
PPSMI adalah salah satu daripada faktor wujudnya bahasa rojak.Jika tidak percaya, maka kajilah sistem pembelajaran ini secara praktikal apabila guru yang mengajar adakah semuanya menggunakan Bahasa Inggeris 100% dalam subjek tersebut? Pelajarnya pula bagaimana?



Namun dalam kerojakan bahasa Malaysia masa kini masih ramai juga yang berbangsa melayu tidak mahu ambil peduli malah dengan bangganya mengatakan bercakap dalam melayu nampak skema.Sejauh itu tanggapan anak-anak remaja masa kini.bagaimanalah pula generasi selepas mereka.Mungkin pada masa itu nanti bahasa Melayu rokaj ini sudah digunakan sebagai bahasa rasmi di dalam kelas.Wallahu a'llam.



Terbawa oleh topik ini saya teringat satu komentar seorang gadis melayu yang di tinggalkan dalam blog penulis Salju Sakinah, Ustaz Yazid dalam entry beliau bertajuk "Berita Pilu Bangsaku".Begini bunnyinya:




salam...ustaz, saya pelikapa masalahnya dengan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris?mengapa ia menjadi satu isu besar?sebagai generasi baru, generasi pra-perintis sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris, sy dan rakan-rakan tidak merasakan ia sesukar mana.saya merasai perkara itu.tingakatan 1 hingga 5 kami belajar dalam bahasa melayu, tetapi semasa di matrikulasi bertukar ke bahasa inggeris.untk pengetahuan ustaz, saya mengambil aliran sains hayat ketika di matrikulasi dan sains kimia di universiti.saya rasa ia tidak sesukar mana. saya berjaya di matrikulasi dan sekarang dengan bangganya saya telah berjaya mengenggam segulung ijazah.untuk pengetahuan ustaz juga walaupun 90% subjek-subjek semasa diuniversiti diajar dalam bahasa inggeris, kebanyakan graduan masih lemah berkomunikasai dalam bahasa inggeris. di mana silapnya? atau kami terlalu lembab? kebayakan temuduga pekerjaan di sektor swata menggunakan bahsa inggeris sebagai pengantara. ini hakikat yang perlu kita telan. untuk maju kita harus menguasai bahasa inggeris TETAPI bahasa melayu tetap di agungkan. saya sendiri masih boleh bertutur dan membaca dalam bahasa melayu denagn baik. meminati karya-karya sastera bahasa melayu. tidak terhakis jiwa melayu saya kerana bahasa pengantara semasa belajar matematik dan sains adalah bahasa inggeris.tolonglah, saya bosan dengan kenyataan orang melayu yang takut dengan bayang-bayang sendiri. kononnya pejuang bahasa, tapi sebenarnya penakut untuk bersaing. mereka lebih suka melihat anak bangsa mereka lemah dan di tindas!sekian, wasalam



Selesai saja saya membacanya, rasa sedih menyerbu hati.Sehingga begitu sekali pendapat anak bangsa yang di amanahkan untuk memertabatkan bahasa ibunda.Sepotong ayat yang benar-benar menyentap sanubari "saya bosan dengan kenyataan orang melayu yang takut dengan bayang-bayang sendiri" Apakah menolak PPSMI itu melambangkan kita takut pada bayang-bayang kita sendiri? Dari segi peribadi, saya rasa kenyataan itu sangat negatif pada kemajuan anak melayu.Apakah dengan menguasai bangsa penjajah itu menjadikan kita maju? sehingga tergadainya maruah bangsa kita.Sungguh saya juga sudah letih dengan kenyataan sedemikian.

Apa yang kita juangkan bukan anak melayu yang hanya boleh berbahasa melayu atau membaca dalam bahasa melayu.Tapi yang kita mahu kekalkan adalah generasi yang benar-benar memelayukan dirinya.Saya tidak nafikan segolongan anak melayu merasa jelek apabila di minta berkain batik dan ada yang tersenyum sinis apabila di minta mengenakan baju kurung.Ya, mungkin itu nilai kemodenan yang perlu di bayar.Bagaimana nilai kemajuan di bayar dengan tanah runtuh, fenomena alam dan berbagai lagi bangunan pencakar langit sehingga mengakibatkan pencemaran udara namun bibir kita masih mampu meluahkan "itulah erti kemodenan". Kemodenan bangsa yang membelakangkan agama.Kemodenan bahasa yang membelakangkan kemelayuan malah penjajahan minda akibat takut di katakan takut pada bayang-bayang sendiri.

Apa pun pendapat yang bakal di utarakan saya tetap mencintai bahasa melayu.Apa sahaja yang komentar yang diajukan saya tetap teguh membantah PPSMI dan sejauh manapun kemodenan membawa kita jangan kita lupa kejayaan mengenggam segulung ijazah bukan bukti kita berjaya.Kerana yang menentukan kejayaan kita apabila kita melangkahkan kaki ke syurgaNya yang abadi.

Ayuh! kita jadi anak melayu yang benar-benar melayu.Bukan melayu yang mindanya di jajah.Bukan anak melayu yang hanya pada nama.Bukan melayu yang hanya pada adat dan bukan melayu hanya pada keturunan tapi jadilah melayu yang benar-benar melayu dari segi bahasa dan kehidupan.Kerana jika tidak kita yang mengekalkan siapa lagi, dan jika tidak kini bila lagi.


Ayuh Bersama kita

Tuesday, January 13, 2009

Ayuh Demi Palestin!

KUALA LUMPUR: Sidang khas Dewan Rakyat semalam sebulat suara mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan serta merta Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa penjenayah perang Israel yang melakukan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin. Desakan itu adalah antara 10 usul dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang kemudian dibahas dan disokong semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang yang diketuai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.-Berita Harian Online



Alhamdulillah!!! hanya lafaz itu yang saya mampu lafazkan ketika menyaksikan buletin utama malam semalam.Bukan bersyukur atas berita terbaru yang menimpa bumi Gaza yang khabarnya telah mencapai fasa ketiga.Namun ucapan syukur itu saya tujukan khas buat ahli-ahli yang berhormat yang menghuni Dewan Rakyat.Syabas buat semua ahli kerana bersatu membina ukhuwah untuk menyelamatkan saudara-saudara kita.Sememangnya itulah tanggungjawab kita pada mereka.Sebelum ini andai berita yang memuatkan tentang Dewan Rakyat saya tidak pernah mahu ambil peduli.Kerana kebanyakannya hanya pertelingkahan sesama sendiri.Mengeluarkan hujah masing-masing.Melontarkan kata-kata yang ada kalanya tidak terbatas sebagai orang yang di hormati.Namun semalam lain dari yang lain apabila semua ahli yang berhormat bersuara pada hala tuju yang sama.Tidak kiralah dari parti mana-mana semua menyokong antara satu sama lain.
Itulah yang perlu kita lakukan.Selaku negara Islam dan negara yang menikmati kehidupan merdeka malah aman dan damai siapa lagi jika tidak kita dan bila lagi jika tidak sekarang.Ayuh pemimpin-peminpin sekalian kita lakukan semuanya demi saudara kita di palestin.Eratkan ukhuwah antara sesama kalian kerana itulah kekutan dalam menegakkan kebenaran.

Banyak sebenarnya luahan hati yang tercalar melihat kekejaman Israel kepada Paletin yang ingin saya tulis tapi saya jadi buntu akibat kelukaan hati melihat setiap berita yang merakamkan penyiksaan yang amat memeritkan.Mengangkat senjata pastinya saya tidak mampu hanya yang mampu saya lakukan mengangkat tangan memohon kepada yang MAHA KUASA agar segalanya di hentikan.Ya, siapa lagi yang lebih berkuasa meleraikan jika bukan DIA yang maha arif lagi maha mengetahui.Hasbunallah wa ni'mal wakil.
Coretan luka dari Palestin benar-benar meruntun hati menyentuh rasa yang sukar untuk di lafaz namun hanya air mata dan kecaman yang mampu di keluarakan oleh bibir.Apa lagi yang kita mampu selain mengecan kekejaman rejim zionis terhadap penduduk Gaza.Ayuh kita ramai-ramai amalkanlah solat sunat hajat buat saudara-saudara kita di sana.Sama-samalah kita menyumbang walau kuantitinya cuma sedikit tapi jika hanya itu yang kita mampu maka lakukanlah moga saudara kita di sana boleh merasai niat tulus ikhlas kita di sini.
"AYUH BOIKOT BARANGAN YAHUDI"

Monday, January 5, 2009

Musim Persekolahan Kembali

Lintang pukang juga saya bagun pagi ini bila adik bongsu yang bakal meneruskan persekolahanya pagi ini di tingkatan tiga mengejutkan untuk bersolat subuh.Ah, terlewat lagi.Menyesal benar rasanya apabila alarm yang berbunyi pukul 4.30 pagi tadi saya matikan.Namun Alhamdulillah subuh baru saja 20 minit berlalu selepas azan.Bangkit berdoa merafak syukur ke hadrat ilahi kerana masih berkesempatan untuk melihat dunia hari ini.Satu kewajipan yang tidak mungkin saya lepaskan walaupun dalam keadaan kalang kabut.

Sejurus bersolat subuh saya hanya memerhati persiapan adik bungsu yang nampak bersemangat benar mahu ke gedung ilmu setelah bercuti hampir dua bulan.Kak long juga sedemikian.Sebagai seorang guru pastinya kak long lebih hebat debarannya kerana bakal meneruskan khidmatnya menyampaikan ilmu yang ada pada generasi pemimpin akan datang.Saya tahu dalam hati wanita berusia 27 tahun itu tersemat kekuatan yang maha hebat untuk menjadi guru yang cemerlang walaupun tidak pernah kedengaran dilafazkan, namun lisan dan pengorbanan yang sering saya saksikan dengan mata terarah ke arah itu.Namun saya tahu semuanya bukan kerana mengerjar kebangaan mahupun kedudukan tinggi di mata masyarakat namun pangajaran dari kedua ibu bapa yang tidak bersekolah tinggi pastinya dorongan yang hebat untuk terus berjuang demi anak bangsa bagi menghapuskan generasi buta huruf.Teruskan usahamu kakakku demi anak bangsa dan generasi pemimpin kita pada masa akan datang.Saya pasti menyokong mu dari belakang.

Ya bukan mudah.Semuanya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.Namun ketabahan dan kesabaran adalah ubat yang sangat berharga bagi memberi kekuatan.Jika suatu masa dulu engkau mampu bersabar pada kekurangan untuk meneruskan perjuangan di menara gading pastinya saat ini hanya sedikit sahaja bezanya.Melihat kejayaanmu hari ini, saya berbangga punya saudara kandung sepertimu.Pengorbanan yang kau curahkan untuk keluarga kita sangat berharga.Dan sesungguhnya sanyuman di bibir bapa dan mak adalah buktinya.Malah kesenangan duduk dalam rumah yang beraircond hari ini juga atas pengorbananmu.

Sungguh saya bangga!! Bukan sedikit tapi susah untuk di bilang kuantitinya kerana yang pasti saya gagal meluahkan kerana adikmu ini tidak punya kekuatan untuk menyatakan kerana pabila mulut ini berbicara untuk berterima kasih melalui gerak lisan dan kata-kata air jernih pasti tumpah sama mengiringi.Namun kesenangan blog yang ada ini memberi jalan untuk terus berkongsi rasa.Ya, mungkin malah bukan mungkin tapi mustahil kau membacanya kerana saya tahu engkau tidak pernah maklum akan kehadiranku menjadi sebahagian pemblog di laman blogspot ini.Namun aku lebih selesa begini kerana aku tidak mahu menjentik rasa hiba di sanubarimu bagi menyelami hati ini.Namun apa yang pasti kau telah buktikan padaku bahawa pengorbananku meninggalkan cita-cita demimu dan keluarga bukan sia-sia.Terima kasih kakakku.Kau memang sangat istimewa kerana jika dulu kau yang mengorbankan cita-cita mu demi kami adik-adikmu mungkin tidak sebegini rasanya kerana saya sedar saya tidak punya kekuatan seperti yang kau miliki.Oh, air mata berhargakah mengalir hanya kerana cerita sayu ini, semoga ianya bukan curahan yang sia-sia.

Tepat 6.20 pagi anak ustaz yang dibawa jagaan mak tiba.Terhibur juga hati mak pada kesunyian bila kami yang hanya bertiga dan semuanya puteri :) pergi meninggalkan rumah bagi memenuhi tanggungjawab.Pada awalnya rasa berat juga membenarkan mak megambil anak jagaan apabila mengenangkan tahap kesihatan mak yang dulunya selalu benar terganggu.Tapi mak dengan hati terbuka menerima dengan alasan mengisi kesunyian bila kami tiada memandangkan hanya separuh hari sahaja khidmatnya diperlukan.Saya diam.Kak long yang bertanyakan hal itu juga diam.Kami mengerti.Namun hati ini lebih sayu bila mak mengatakan dengan pendapatannya menjaga anak ustaz insyaAllah membantu sistem kewangan keluarga kami memandangkan hanya saya dan kak Long saja yang bekerja.Dua beradik lelaki yang bekerja susah untuk saya gambarkan dengan kata-kata.Biarlah menjadi rahsia keluarga kami dengan iringan doa yang tidak pernah henti.Allah maha memahami.

Maafkan saya mak, saya tahu saya bukan anak yang baik.Malah saya banyak menyusahkan mak.Sesungguhnya saya tidak akan mampu membayar segala pengorbananmu dunia akhirat.Namun dalam usia yang tidak tahu bila akan tiba di garisan penamatnya ini, tidak akan sesekali saya berhenti untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraanmu dunia dan akhirat.Dan saya yakin itu juga yang kak long dan yang lain doakan selalu di penghujung solat.Restuilah kami menjadi anakmu semoga kami menjadi anak yang tidak akan menyakiti hatimu sepanjang hayat kami bersamamu.

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkanlah dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayangmu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika aku masih kecil." Ameen!!!

Thursday, January 1, 2009

Selamat Tahun Baru Masihi

Bismillahirrahmanirahim...Alhamdulillah atas kurniaan kepanjangan usia untuk melangkah ke tahun baru masihi yang hanya berbeza 3 hari sahaja selapas pertukaran kalender Hijrah.Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang berjasa mewariskan Islam sebagai agama yang digenggam kukuh hari ini dan selamanya.Ameen.



Banyak benar message tahun baru yang saya terima semalam sehingga saya mengambil keputusan untuk tidak membalas setiap message bertepatan pulak dengan system down yang melambatkan proses penghantaran dan report yang tidak ada dimana sejak awal telah dimaklumkan oleh rangkaian celcom.



Apa pun pada kesempatan yang masih diberikan oleh Allah SWT ini saya mohon pada DIA yang maha mengetahui moga ada khairnya buat diri, keluarga, seluruh pengunjung blog http://nurjannahtulajila.blogspot.com/ ini dan yang pastinya buat seluruh umat Islam di dunia.Dalam kemeriahan yang kita lalui jangan sesekali kita lupa pada apa yang terjadi pada saudara-saudara kita di Palestin.Doa-doakanlah moga mereka juga merasai khair menyambut tahun baru semoga mereka juga diberi kesempatan merasai manisnya erti kemerdekaan. Ameen!!!

Salam kasih sayang buat semua yang bertamu moga ikatan ukhuwah antara kita sentiasa mendapat keberkatan dariNYA.Moga tahun ini tahun yang memantapkan lagi perjuangan kita memartabatkan Islam seantero dunia bagi mengembalikan kegemilangannya.