Lintang pukang juga saya bagun pagi ini bila adik bongsu yang bakal meneruskan persekolahanya pagi ini di tingkatan tiga mengejutkan untuk bersolat subuh.Ah, terlewat lagi.Menyesal benar rasanya apabila alarm yang berbunyi pukul 4.30 pagi tadi saya matikan.Namun Alhamdulillah subuh baru saja 20 minit berlalu selepas azan.Bangkit berdoa merafak syukur ke hadrat ilahi kerana masih berkesempatan untuk melihat dunia hari ini.Satu kewajipan yang tidak mungkin saya lepaskan walaupun dalam keadaan kalang kabut.
Sejurus bersolat subuh saya hanya memerhati persiapan adik bungsu yang nampak bersemangat benar mahu ke gedung ilmu setelah bercuti hampir dua bulan.Kak long juga sedemikian.Sebagai seorang guru pastinya kak long lebih hebat debarannya kerana bakal meneruskan khidmatnya menyampaikan ilmu yang ada pada generasi pemimpin akan datang.Saya tahu dalam hati wanita berusia 27 tahun itu tersemat kekuatan yang maha hebat untuk menjadi guru yang cemerlang walaupun tidak pernah kedengaran dilafazkan, namun lisan dan pengorbanan yang sering saya saksikan dengan mata terarah ke arah itu.Namun saya tahu semuanya bukan kerana mengerjar kebangaan mahupun kedudukan tinggi di mata masyarakat namun pangajaran dari kedua ibu bapa yang tidak bersekolah tinggi pastinya dorongan yang hebat untuk terus berjuang demi anak bangsa bagi menghapuskan generasi buta huruf.Teruskan usahamu kakakku demi anak bangsa dan generasi pemimpin kita pada masa akan datang.Saya pasti menyokong mu dari belakang.
Ya bukan mudah.Semuanya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.Namun ketabahan dan kesabaran adalah ubat yang sangat berharga bagi memberi kekuatan.Jika suatu masa dulu engkau mampu bersabar pada kekurangan untuk meneruskan perjuangan di menara gading pastinya saat ini hanya sedikit sahaja bezanya.Melihat kejayaanmu hari ini, saya berbangga punya saudara kandung sepertimu.Pengorbanan yang kau curahkan untuk keluarga kita sangat berharga.Dan sesungguhnya sanyuman di bibir bapa dan mak adalah buktinya.Malah kesenangan duduk dalam rumah yang beraircond hari ini juga atas pengorbananmu.
Sungguh saya bangga!! Bukan sedikit tapi susah untuk di bilang kuantitinya kerana yang pasti saya gagal meluahkan kerana adikmu ini tidak punya kekuatan untuk menyatakan kerana pabila mulut ini berbicara untuk berterima kasih melalui gerak lisan dan kata-kata air jernih pasti tumpah sama mengiringi.Namun kesenangan blog yang ada ini memberi jalan untuk terus berkongsi rasa.Ya, mungkin malah bukan mungkin tapi mustahil kau membacanya kerana saya tahu engkau tidak pernah maklum akan kehadiranku menjadi sebahagian pemblog di laman blogspot ini.Namun aku lebih selesa begini kerana aku tidak mahu menjentik rasa hiba di sanubarimu bagi menyelami hati ini.Namun apa yang pasti kau telah buktikan padaku bahawa pengorbananku meninggalkan cita-cita demimu dan keluarga bukan sia-sia.Terima kasih kakakku.Kau memang sangat istimewa kerana jika dulu kau yang mengorbankan cita-cita mu demi kami adik-adikmu mungkin tidak sebegini rasanya kerana saya sedar saya tidak punya kekuatan seperti yang kau miliki.Oh, air mata berhargakah mengalir hanya kerana cerita sayu ini, semoga ianya bukan curahan yang sia-sia.
Tepat 6.20 pagi anak ustaz yang dibawa jagaan mak tiba.Terhibur juga hati mak pada kesunyian bila kami yang hanya bertiga dan semuanya puteri :) pergi meninggalkan rumah bagi memenuhi tanggungjawab.Pada awalnya rasa berat juga membenarkan mak megambil anak jagaan apabila mengenangkan tahap kesihatan mak yang dulunya selalu benar terganggu.Tapi mak dengan hati terbuka menerima dengan alasan mengisi kesunyian bila kami tiada memandangkan hanya separuh hari sahaja khidmatnya diperlukan.Saya diam.Kak long yang bertanyakan hal itu juga diam.Kami mengerti.Namun hati ini lebih sayu bila mak mengatakan dengan pendapatannya menjaga anak ustaz insyaAllah membantu sistem kewangan keluarga kami memandangkan hanya saya dan kak Long saja yang bekerja.Dua beradik lelaki yang bekerja susah untuk saya gambarkan dengan kata-kata.Biarlah menjadi rahsia keluarga kami dengan iringan doa yang tidak pernah henti.Allah maha memahami.
Maafkan saya mak, saya tahu saya bukan anak yang baik.Malah saya banyak menyusahkan mak.Sesungguhnya saya tidak akan mampu membayar segala pengorbananmu dunia akhirat.Namun dalam usia yang tidak tahu bila akan tiba di garisan penamatnya ini, tidak akan sesekali saya berhenti untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraanmu dunia dan akhirat.Dan saya yakin itu juga yang kak long dan yang lain doakan selalu di penghujung solat.Restuilah kami menjadi anakmu semoga kami menjadi anak yang tidak akan menyakiti hatimu sepanjang hayat kami bersamamu.
"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkanlah dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayangmu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika aku masih kecil." Ameen!!!
Selepas Salju Sakinah
14 years ago


No comments:
Post a Comment